Khutbah Jumaat Oleh Ketua BAKA Kedah sempena Hari Polis yang ke-202
Tajuk: PENCEGAHAN JENAYAH JUVANA
Tarikh: (20 Mac 2009 / 23 Rabiul Awal 1430)
Tempat: Masjid Jamek Nur Fazilat IPK Kedah
Khatib: Supt. Hamzan Bin Darus
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kehidupan kita diberkati di dunia dan di akhirat. Pada hari ini mimbar akan membincangkan khutbah bertajuk: “PENCEGAHAN JENAYAH JUVANA”.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Perkataan jenayah dalam Islam mengandungi pengertian yang am dan khusus. Secara amnya ia bererti sesuatu yang tidak baik dilakukan dan ia melibatkan dosa besar. Dari segi perundangan apa sahaja yang dilarang dalam Islam, jika dilakukan ia adalah satu dosa dan dengan itu boleh ditakrifkan sebagai jenayah dan mempunyai kesan tertentu dari segi hukuman.
Masalah sosial di kalangan remaja dan pelajar-pelajar sekolah yang melanda masyarakat dan negara semakin meruncing. Tambahan pula kes-kes jenayah juvana kian meningkat di negara kita banyak melibatkan pelajar. Jabatan Siasatan Jenayah Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Bukit Aman melaporkan bahawa pada tahun 2008 sebanyak 5,115 kes juvana yang melibatkan seramai 7,126 orang kanak-kanak dan remaja.
Apa yang menyedihkan, purata umur kes-kes juvana ini antara umur 7 hingga 18 tahun adalah sangat muda berbanding dengan usia jenayah yang dilakukan. Sehingga ini kelompok umur 16 hingga 18 tahun antara yang tertinggi iaitu 5,146 orang di mana melibatkan kes curi motosikal, mencuri, pecah rumah, rogol, dan samun.
Berdasarkan peningkatan kes ini, pelbagai pihak antaranya para pemimpin, ahli-ahli akademik, tokoh pendidikan dan aktivis masyarakat telah menyuarakan pandangan masing-masing tentang faktor yang mendorong golongan pesalah juvana ini melakukan jenayah. Antara faktor juvana terlibat jenayah ialah:
Pertama : Ibu bapa kurang kemahiran dalam mendidik anak-anak,
Kedua : Persekitaran hidup yang di kelilingi unsur-unsur pergaulan bebas dan
pendedahan unsur-unsur seks, dan
Ketiga : Kurang didikan agama.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Ibu bapa mempunyai tanggungjawab yang banyak yang diamanahkan oleh Allah s.w.t. Antaranya ialah mendidik mereka menjadi manusia yang berjaya di dunia ini, terutama sekali dalam suasana masyarakat yang sangat materialistik. Ini memberi cabaran kepada ibu bapa kerana Allah s.w.t mempertanggungjawabkan mereka supaya mendidik anak-anak menjadi mukmin yang berperanan dalam Islam dan selamat dari seksa api neraka.
Firman Allah s.w.t dalam surah at-Tahrim ayat 6:
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu api Neraka yang bahan bakarannya manusia dan batu.”
Ibu bapa perlu sedar bahawa mereka sedang menyediakan generasi baru. Ibu bapa perlu sedar bahawa anak dalam dukungan mereka kelak akan menjadi insan yang mempunyai tanggungjawab, dan tata kelakuan mereka akan mempunyai kesan terhadap insan lain.
Secara langsung, nilai dan gaya hidup ibu bapa akan mempengaruhi tarbiyah atau pendidikan anak-anak. Anak-anak akan melakukan apa yang mereka lihat dan akan mengingatinya untuk di contohi. Apa yang nyata, anak yang melihat ibu bapanya menipu tidak akan belajar menjadi orang yang jujur. Anak yang mempunyai ibu bapa yang ganas dan lasak, tidak akan membesar menjadi seorang yang mempunyai sifat kasih sayang.
Merujuk kepada kisah-kisah tauladan Rasulullah s.a.w., memang terdapat banyak riwayat mengenai cara Rasulullah s.a.w. mentadbir dan menguruskan rumahtangganya. Antaranya:
i. Mempromosikan dan menghayati hidup beragama dalam rumahtangga.
ii. Mewujudkan persekitaran dan suasana keluarga yang sihat.
iii. Mewujudkan sifat belas kasihan, ihsan, lemah lembut, dan kasih sayang.
iv. Memahami tahap-tahap keperluan anak-anak mengikut proses pembesarannya.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Hakikatnya pencegahan kes-kes juvana dan gejala moral lain bermula di rumah. Walau bagaimanapun kita jangan lupa sumbangan penting Polis Di Raja Malaysia (PDRM) yang memainkan peranan besar dalam mengawal pencegahan kes-kes jenayah di seluruh Malaysia. Sumbangan besar Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dalam menjaga keselamatan negara membolehkan rakyat hidup dalam keadaan aman damai.
Oleh itu, mimbar mengingatkan bahawa kerjasama orang ramai dan rakyat seluruhnya amat penting dalam membantu keberkesanan PDRM dalam melaksanakan tanggungjawabnya. Sempena Peringatan Hari Polis ke-202 pada 25 Mac 2009 ini, mimbar merakamkan tahniah dan terima kasih di atas sumbangan warga PDRM dalam menjaga keselamatan di negara ini. Semoga sifat amanah, ikhlas, integriti, dan pengorbanan mereka dalam menjalankan tanggungjawab terus memperkukuhkan imej PDRM di mata dunia.
Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Anfal ayat 27:
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).”
- TAQWIM CAWANGAN AGAMA (BAKA) KONTINJEN KEDAH TAHUN 2014
- Aktiviti BAKA IPK Kedah (Jun 2013)
- Perbincangan Soal Selidik Kursus Pemantapan Prestasi 14/11/11
- KURSUS PEMANTAPAN PRESTASI ANGGOTA PDRM 18-20 OKTOBER 2011 DUSUN MINDA RESORT, KUALA NERANG, KEDAH
- Pesanan Saya
- Seminar Pemahaman undang-undang Keluarga Islam (22 Sept 2011/ Khamis)
- Kem Anak Soleh PDRM di Dusun Minda Resort (9&10 September 2010)
- Kuliah Ramadhan 2011 ( 01 Ogos 2011 hingga 25 Ogos 2011)
- Pingat Jasa Perkasa Persekutuan
- Lawatan Tidak Rasmi Dato' DR. Hashim bin Harun ke IPD Baling
- Bicara Mufti
- Majlis Pelantikkan Amil Zakat Fitrah PDRM Kontinjen Kedah 2010/1431H
- KURSUS PEMANTAPAN KERJAYA BAKA PDRM KONTINJEN KEDAH SIRI 1/2010 DI KAMC YAN KEDAH 23-24 JULAI 2010
- Johan Qari Tilawah Pdrm Peringkat Kebangsaan PDRM 2010 - milik Kontinjen Kedah
- PROGRAM MARHABAN YA RAMADHAN- BERSAMA SYEIKH NURUDDIN AL-BANJARI AL-MAKKI